Thursday, January 7, 2010

2010: MPKB Belanja RM400,000 Tahun Lepas Untuk Indahkan Bandar

Berita Timur
January 07, 2010 15:42 PM

MPKB Belanja RM400,000 Tahun Lepas Untuk Indahkan Bandar

KOTA BAHARU, 7 Jan (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) membelanjakan RM400,000 bagi melaksanakan pelbagai projek mengindah dan menceriakan kawasan bandar sepanjang tahun lepas.

Yang Dipertuanya Ahmad Mahmud berkata projek itu dimulakan akhir tahun lalu bagi mencapai matlamat MPKB yang dinaikkan taraf sebagai Bandar Raya Islam (BRI) dan manjadikan 2010 sebagai tahun kebersihan pihak berkuasa kerajaan tempatan itu.

Katanya beliau mahu orang ramai, khususnya penduduk kawasan majlis berusaha menjadikan persekitaran kawasan mereka sebagai sebuah taman di mana setiap bangunan kediaman mahupun premis perniagaan di sini mesti sekurang-kurangnya dihiasi dua pasu pokok bunga.

"Kerajaan negeri menerusi MPKB menyediakan peruntukan yang banyak iaitu lebih RM400,000 tahun lepas bagi menjadikan Kota Bharu bandar bersih menjelang 2010," katanya semasa berucap di majlis pelancaran gotong perdana di Pasar Bersepadu Wakaf Che Yeh, yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, dekat sini, Khamis.

Sementara itu Ahmad Mahmud berkata MPKB juga akan mengadakan pertandingan tulisan jawi bagi memperluaskan penggunaannya di semua kawasan pentadbiran MPKB, terutama di premis-premis perniagaan di kawasan bandar.

Beliau berkata ia selaras dengan usaha MPKB mewajibkan setiap premis perniagaan mengutamakan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda mulai tahun ini dalam usaha memertabatkan tulisan itu.

Selain itu, katanya, MPKB juga mewajibkan semua pegawai dan kakitangannya menggunakan tanda nama dengan tulisan jawi.

Sumber: Bernama: 07-01-2010